Tuesday 19 November 2013

Warga maut bila tren rempuh kenderaan dekat Kahirah



BERKECAI: Penduduk Mesir berjalan lalu di sebelah bangkai sebuah bas yang dirempuh kereta api kargo di tapak kejadian di sebuah lintasan kereta api di Dahshur, sekitar 45 kilometer ke selatan Kahirah, semalam. - Foto AFP

KAHIRAH: Sebuah kereta api kargo yang bergerak ke selatan dari ibu kota Mesir, Kahirah, merempuh beberapa kenderaan yang menyeberang landasan awal pagi semalam dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh.
Kebanyakan mangsa merupakan anggota keluarga yang sedang dalam perjalanan pulang daripada satu majlis perkahwinan, lapor media rasmi negara itu.
Seorang pegawai keselamatan berkata kereta api itu sedang dalam perjalanan ke bandar selatan, Beni Suef, apabila ia merempuh sekurangkurangnya tiga kenderaan dekat kampung Dahshur, sekitar 40 kilometer ke selatan Kahirah.
Pegawai itu tidak membenarkan namanya disiarkan kerana beliau tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada pihak media.
Kereta api itu terus bergerak sepanjang hampir satu kilometer setelah merempuh kenderaan-kenderaan tersebut sebelum akhirnya berhenti.
Pemandu kereta api itu dilaporkan terselamat.
Seorang pegawai perubatan kecemasan, Encik Ahmed el-Ansari, memberitahu stesen televisyen Nile News bahawa seramai 28 orang cedera.
Menurutnya, angka kematian mungkin meningkat, tetapi semua mangsa telah dipindahkan dari tempat kejadian.
Ketua Sektor Keselamatan Giza, Encik Kamal el-Dali, memberitahu stesen televisyen itu bahawa kebanyakan mereka yang terkorban dan cedera merupakan anggota keluarga.
Mereka baru pulang daripada majlis perkahwinan di Kahirah dengan menaiki bas.
Kata Encik El-Dali, keluarga itu sedang menuju ke bandar selatan, Fayyoum.
Tambahnya, kereta api yang terlibat dalam kemalangan itu membawa bahan-bahan binaan dan ia merempuh sebuah lori kecil yang datang dari arah bertentangan.
Ketua Penguasa Kereta Api Mesir, Encik Hussein Zakaria, memberitahu Nile News bahawa laporan awal menunjukkan pagar untuk menyeberang telah ditutup dan pemandu kereta api itu terkejut melihat masih ada kenderaan yang melintas.
"Apa yang boleh dilakukan pengawal? Berdiri di hadapan bas?" soal Encik Zakaria.
Menurutnya, kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu tidak menghiraukan lampu isyarat amaran serta rantai yang menghalang lintasan dan tetap cuba melintas.
"Bas itu merempuh lintasan, menurut laporan awal. Lintasan dihalang dengan rantai, ada lampu amaran," kata Encik Zakaria.
Tambahnya, laporan awal menunjukkan tiada kecuaian yang berlaku dan pihaknya akan menunggu hasil siasatan.
Kemalangan semalam berlaku hanya beberapa hari setelah perkhidmatan kereta api dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara.
Perkhidmatan kereta api dihentikan akibat tunjuk perasaan yang menyusul setelah presiden ketika itu, Encik Mohamed Mursi, digulingkan, pada Julai lalu.
SAMBUNG BACAAN

No comments:

Post a Comment

Busuk.com

My Blog List