Luar Biasa! Budak 12 Tahun Sudah Menjadi ‘Doktor’? | Seorang budak 12 tahun dipercayai mampu mengubati segala penyakit yang dialami oleh semua orang. Kebolehan budak ini telah diakui oleh beberapa pesakit
yang mendakwa sembuh setelah menerima rawatan daripadanya. Budak yang
dikenali sebagai Muhammad Rafiq ini tidak menyangka dirinya mempunyai kebolehan luar biasa.
Namun begitu, ia tidak menjadi masalah sekiranya rawatan ini dijalankan
menggunakan ayat-ayat al-Quran. Selain itu, kita tidak boleh terlalu
taksub sehingga menyangka budak ini penyebab sesuatu penyakit itu sembuh
kerana semua ini adalah atas izin dari Allah SWT.
JIKA kanak-kanak lain mengisi masa lapang
dengan bermain bola dan badminton, lain pula adik Muhammad Rafiq
Rahmat, 12, yang mengisi masa lapangnya dengan mengubati penyakit.
Muhammad Rafiq dikatakan berkebolehan dalam mengubati penyakit sejak enam tahun lalu memenuhi masa terluang dengan tuntutan orang ramai yang mahukan perkhidmatannya.
Anak bongsu daripada empat beradik yang
tinggal di Taman Desa Kiara, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan,
menggunakan kaedah membaca Surah Al-Fatihah, Surah Al-Ikhlas, bermohon
kepada ALLAH SWT agar menyembuhkan penyakit individu yang dirawat dan
menghembus pada bahagian yang sakit.
“Saya menjadi tukang urut dan membantu
merawat penyakit seperti gangguan makhluk halus secara tradisional
diikuti bacaan ayat al-Quran sejak 12 tahun lalu.
“Namun, kedatangan seorang pesakit lelaki yang mengalami penyakit kayap diperut, membongkar keistimewaan Rafiq.
“Saya tidak dapat menolong lelaki itu.
Namun Rafiq secara tiba-tiba menawarkan diri untuk membantu,” ujar
Latifah ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya.
Dia menambah, anaknya itu melakukan
hembusan dengan bacaan ayat suci al-Quran bagi merawat pesakit berkenaan
yang kemudiannya beransur pulih.
Rata-rata pesakit yang pernah menerima rawatan daripada anaknya itu berkata hembusan anaknya akan meresap ke dalam kulit dan terasa sejuk.
Murid tahun enam di sekolah kebangsaan
Cina, di sini, berkata, dia tidak menyangka dikurniakan kelebihan
tersebut meskipun dalam usia muda.
“Niat saya hanya untuk bantu orang dan kelebihan yang ALLAH SWT beri ini akan saya gunakan sebaik mungkin.
“Walaupun saya masih muda, saya akan
mempraktikkan ilmu ini kerana niat saya ikhlas untuk membantu merawat
penyakit orang ramai,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi doktor.
Dia yang masih belajar mengaji dengan ibunya, berasa bersyukur dikurniakan kelebihan itu.
Ikhtiar berubat
Latifah berkata, kebolehan anaknya itu
tidak menjejaskan pelajaran kerana kaedah rawatan hanya mengambil masa
antara lima hingga 10 minit.
Kaedah rawatan anaknya itu tidak memerlukan pengeras, cukup sekadar sumbangan ikhlas daripada pesakit.
“Ketika mengandung Rafiq, saya pernah
bermimpi bertemu seorang lelaki yang mendakwa anak ini istimewa dan
mempunyai kelebihan yang luar biasa.
“Sebaik saja bersalin, lelaki misteri tersebut muncul seketika untuk melihat anak saya sebelum hilang,” katanya.
Dia dan suami, Rahmat Deraman, 42, tidak
akan menghalang anaknya mengubati orang kerana ia perkara baik. Bagi
mereka, usaha anaknya itu hanyalah ikhtiar untuk merawat penyakit itu.
Sementara itu, seorang pesakit yang enggan dikenali berkata, dia
menderita penyakit kayap di perut sejak sekian lama dan berputus asa
kerana banyak tempat sudah pergi untuk mengubati penyakitnya itu.
“Selepas mendapatkan bantuan Rafiq,
alhamdulillah dengan izin ALLAH, penyakit saya beransur pulih dan kini
kembali sembuh,” katanya.
Pesakit wanita berusia 62 tahun yang
sebelum ini mengalami penyakit gatal-gatal di kepala hanya menggunakan
sapuan ubat untuk menangani kegatalan.
“Setelah Rafiq membacakan ayat dan
menghembus ke atas kepala saya, syukur rasa gatal itu kian terasa
semakin berkurang,” katanya.
No comments:
Post a Comment