Nabi Sulaiman (a.s.) adalah salah seorang hamba Allah SWT yang terpilih
di antara hamba-hamba Nya yang lain. Baginda beri kelebihan hikmah dan
ilmu dengan dikurniakan mukjizat yang besar dari Allah SWT.
Antara mukjizat yang tersebut ialah boleh memahami dan berinteraksi
dengan jin dan haiwan. Allah SWT juga telah menundukkan angin kencang
untuk membawa Nabi Sulaiman (a.s.) ke sesuatu tempat yang diberkati Nya,
menundukkan segolongan syaitan dan segolongan jin supaya berkhidmat
kepada Nabi Sulaiman (a.s.). Semuanya berlaku dengan kekuasaan dan
keizinan dari Allah SWT.
Pada suatu masa dahulu, Nabi Sulaiman (a.s.)
dengan kekuasaan Tuhan telah menghimpunkan bala tenteranya yang terdiri
dari golongan jin, manusia dan burung-burung. Maka berhimpun lah mereka
mengikut tertib dalam barisan masing-masing.
Ketika memeriksa
barisan tenteranya dari kalangan burung-burung, baginda menyedari bahawa
Burung Hud-hud tidak hadir dalam perbarisan. Baginda berkata bahawa
Hud-hud akan dikenakan hukuman atau disembelih sekiranya
ketidakhadirannya tanpa alasan yang jelas.
Tidak lama
kemudian Hud-hud pun datang dengan membawa suatu berita penting dari
negeri Saba yang didakwa Hud-hud, baginda sendiri pun belum
mendengarnya. Hud-hud pun bercerita lah mengenai Puteri Balqis,
pemerintah negeri Saba yang dianugerahi segala apa yang dihajati serta
mempunyai singahsana yang besar.
Hud-hud juga melaporkan bahawa
puteri tersebut dan rakyat di bawah naungannya menyekutukan Allah SWT
lalu menyembah matahari kerana mereka telah disesatkan oleh syaitan.
Baginda
seraya bertitah kepada Hud-hud, “Akan kami lihat, apa kamu benar,
ataukah kamu termasuk orang-orang yang berdusta. Pergilah dengan membawa
suratku ini, lalu jatuhkanlah kepada mereka, kemudian berpalinglah dari
mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan.”
Maka
Hud-hud pun melakukan sebagaimana yang dititahkan oleh Nabi Sulaiman
(a.s.) dengan membawa sepucuk surat lalu dijatuhkan kepada Puteri
Balqis. Kemudiannya Hud-hud berpaling dan mencuri dengar perbualan
puteri dengan para pembesarnya.
Lalu Puteri Balqis berkata, “Hai
pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku sebuah surat
yang mulia. Sesungguhnya surat itu, dari Sulaiman dan sesungguhnya:
‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Bahawa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah
kepadaku sebagai orang-orang berserah diri ‘.”
Puteri Balqis
kemudiannya meminta nasihat dari para pembesar negeri dalam membuat
keputusan bagi menentukan tindakan yang sepatutnya diambil. Namun para
pembesarnya menyerahkan pertimbangan tersebut di tangan puteri sendiri
dengan berkata, “Kita adalah orang-orang yang memiliki kekuatan dan
memiliki keberanian yang sangat (dalam peperangan), dan keputusan berada
di tanganmu; maka pertimbangkanlah apa yang akan kamu perintahkan”.
akuislam.com
Puteri
seraya berkata kepada para pembesar, “Sesungguhnya raja-raja apabila
memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan
penduduknya yang mulia jadi hina; dan demikian pulalah yang akan mereka
perbuat dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan
(membawa) hadiah, dan (aku akan) menunggu apa yang akan dibawa kembali
oleh utusan-utusan itu.”
Hud-hud pun pulang melaporkan kepada
Nabi Sulaiman (a.s.) tentang apa yang telah didengarinya. Utusan dari
Puteri Balqis pun tiba kepada Nabi Sulaiman (a.s.). Baginda kemudiannya
membalas utusan dengan mesej berbunyi: “Apakah kamu menolong aku dengan
harta? Maka apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa
yang diberikan Nya kepadamu; tetapi kamu merasa bangga dengan hadiahmu.
Kembalilah kepada mereka sungguh kami akan mendatangi mereka dengan bala
tentara yang mereka tidak kuasa melawannya, dan pasti kami akan
mengusir mereka dari negeri itu (Saba) dengan terhina dan mereka menjadi
(tawanan-tawanan) yang hina dina”.
Setelah utusan tersebut
berangkat ke negeri Saba, Nabi Sulaiman (a.s.) berbincang dengan para
pembesar baginda mengenai niatnya untuk membuatkan kerajaan negeri Saba
menyerah diri dan seterusnya menerima Islam. Baginda telah mempunyai
rancangan yang bijaksana bagaimana hendak membuatkan Puteri Balqis
mengaku kalah dengan bukti kebesaran Allah SWT.
“Hai
pembesar-pembesar, siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa
singgahsananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai
orang-orang yang berserah diri?”, tanya baginda.
Pertanyaan
tersebut telah disahut oleh sejenis jin yang cerdik bernama Ifrit yang
menjawab, “Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgasana itu
kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku
benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercayai”.
Jin
Ifrit menganggap dirinya benar-benar kuat untuk membawa singgahsana
Puteri Balqis dalam kadar yang pantas iaitu sebelum pun nabi Sulaiman
(a.s.) berdiri dari keadaan duduknya.
Tiba-tiba seorang hamba
Allah dari kalangan manusia yang dikurnia ilmu Allah SWT dari al-Kitab
pula menyahut, “Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu
berkedip”. Sebelum sempat mata Nabi Sulaiman (a.s.) berkedip, maka
tersergamlah singgahsana Puteri Balqis di hadapan baginda.
Seraya
baginda berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah
aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barang siapa yang
bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri dan
barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha
Mulia”.
Ratu Balqis adalah seorang wanita yang sangat cantik dan
mempunyai akal yang cerdas, oleh sebab itulah golongan jin merasa iri
hati dengannya. Mereka mengatakan bahawa Ratu Balqis itu mempunyai dua
aib, pertama tubuhnya pendek dan kedua betisnya seperti betis unta.
Nabi
Sulaiman sangat cerdik. Baginda menggunakan cara lain untuk
memperlihatkan kekuasaan Allah kepada Ratu Balqis. Maka Nabi Sulaiman
memerintahkan supaya para Jin mengubah sedikit singgahsana Ratu Balqis,
lalu beliau menyuruh pula membangun sebuah mahligai yang dibuat dari
kaca. Bahagian bawah mahligai tersebut dan kelilingnya mengalir
sungai-sungai dengan berisikan ikan-ikan, di atas air itu dibuat sebuah
jambatan daripada kaca.
Ketika Ratu Balqis dan rombongan tiba, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: “Apakah ini singgahsanamu?
Ratu Balqis menjawab: Mungkin!
Dia
tidak mengatakan ya, kerana dilihatnya ada sedikit perubahan. Tetapi
tidak mengatakan bukan, disebabkan ada sebahagian yang serupa dengan
singgah-sananya. Dari jawapan Ratu Balqis itu, tahulah Nabi Sulaiman as
bahawa ia adalah seorang wanita yang berakal sempurna serta bijaksana.
Kemudian
Nabi Sulaiman as menyuruh tamunya itu masuk ke dalam istana. Ketika
Ratu Balqis melihat ke dalam istana, ia melihat seakan-akan ada aliran
air, sehingga ia mengangkat kainnya, sehingga betisnya tersingkap. Nabi
Sulaiman as melihat betisnya itu, maka tidak ada satu aibpun seperti
yang disampaikan oleh golongan jin.
Nabi Sulaiman berkata kepada Ratu Balqis: “Ini adalah sebuah mahligai yang licin, ia dibentuk daripada kaca.”
ketika
Ratu Balqis menyaksikan betapa hebatnya Nabi Sulaiman, ia berkata dalam
hatinya: “Walaupun kerajaanku luas, singgahsanaku indah dan megah, bala
tenteraku ramai, namun jika dibandingkan dengan semua yang aku saksikan
ini, seakan-akan milikku tidak bererti.
Kemudian ia berkata
seperti yang diungkapkan di dalam Quran, firman Allah SWT surah An Naml
ayat 44 bermaksud: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim
terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah
Tuhan semesta alam.” Setelah itu Ratu Balqis pun berkahwin dengan Nabi
Sulaiman as. Peristiwa pernikahan Nabi Sulaiman dengan Ratu Balqis ini
terjadi pada hari Jumaat.
Begitu besarnya kerajaan Nabi Sulaiman
as. yang mana angin sebagai kenderaannya, manusia dan jin sebagai
tenteranya, burung sebagai pembantu dan teman-teman bercakapnya,
binatang-binatang buas sebagai buruhnya dan para malaikat sebagai
utusannya.
Nabi Sulaiman as mempunyai satu padang, sebahagian
tanahnya terbuat daripada emas dan sebahagian lagi daripada perak. Jika
tenteranya berbaris di padang itu, maka panjang barisan itu tidak kurang
dari seratus parsakh. Sedangkan luas tempat tinggalnya adalah sebulan
perjalanan.
Kemudian golongan jin membuat untuknya sebuah
permaidani daripada emas dan perak. Pada permaidani tersebut terdapat
dua belas ribu mihrab, pada setiap mihrab terdapat kursi daripada emas
dan perak, kemudian duduk di atas tiap-tiap kursi tersebut seorang yang
alim dari ulamak Bani Israil.
Pada setiap hari dimasak kira-kira
seribu unta, empat ribu lembu dan empat puluh ribu kambing. Nabi
Sulaiman juga mempunyai piring-piring yang besar bagaikan kolam dan
periuk yang tetap berada di atas tungku.
Firman Allah SWT:
“Para
jin membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dikehendaknya dari bangunan
yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang besarnya seperti
kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku.” (Saba’: 13)
Begitu
besarnya nikmat dan kelebihan Nabi Sulaiman as. Namun begitu kelebihan
dan kenikmatan umat Nabi Muhammad SAW yang beriman, di dalam Syurga
nanti disediakan tempat-tempat tinggal dan darjat, kebun-kebun,
sungai-sungai dan buah-buahan. Di dalamnya diperolehi segala sesuatu
yang menyenangkan jiwa dan mata. Di dalamnya juga terdapat sesuatu yang
tidak pernah terlintas oleh fikiran manusia.
Dikisahkan bahawa
serendah-rendah darjat tempat umat Nabi Muhammad SAW di dalam Syurga itu
ialah seratus kali luas kerajaan Sulaiman as. Malah lebih baik, kerana
Syurga adalah tempat yang abadi. Di dalamnya tidak ada matahari,
kesejukan, kesakitan, kesusahan serta lain-lain penderitaan. Di Syurga
adalah tempat yang abadi, kesenangan tanpa batas, pemberian tanpa
dihitung, penerimaan tanpa ditolak.
Ada Syurga yang dinamakan
dengan Darussalam, di dalamnya mempunyai keselamatan tanpa adanya
kebinasaan, kenikmatan tanpa malapetaka, kecintaan tanpa permusuhan,
kemuliaan tanpa kehinaan serta bermacam-macam lagi kenikmatan yang sukar
untuk diungkapkan.
Kemudian Syurga Jannatunna’im. Sesungguhnya
bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka Syurga
kenikmatan. Di dalamnya para hamba-hamba-Nya bertempat tinggal, para
nabi menjadi sahabatnya, tinggal kekal dalamnya dengan kurnia yang
berlimpah ruah. Tidak ada kesusahan di dalamnya, terdapat bidadari
cantik dan jelita, mahligainya tinggi dan tempat yang luas.
Syurga
Firdaus, disediakan bagi orang-orang yang tidak menyekutukan Allah SWT
dengan sesuatu, menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat, tidak
membuat kemungkaran serta menjalankan segala yang diperintahkan Allah
SWT. Allah SWT menjadikan penghuni Syurga ini sebagai kekasihNya.
Di
dalam Syurga Firdaus terdapat empat sungai, iaitu sungai dari air
tawar, sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai dari air
arak yang lazat rasanya dan sungai air madu. Di dalamnya juga diperolehi
berbagai macam buah-buahan. Ada lagi empat mata air iaitu: Salsabil,
Zanjabil, Rohiiq dan Tasniim. Ada lagi dua mata air yang mengalir dan
dua mata air yang memancar, iaitu Al-kaafuur dan Al-kautsar. Di dalamnya
juga diperolehi segala sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata dan
didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu di
dalam taman-taman dan sungai-sungai, di tempat yang disenangi di sisi
Tuhan Yang Berkuasa.” (Al-Qamar: 54-55).